fb fb fb fb fb

Op Noda: Polis gempur hotel terbiar sarang pelacuran

Polis serbu premis hotel terbiar jadi sarang pelacuran dan tempat sewa pendatang asing

KUALA LUMPUR, 9 Februari - Seramai 263 individu ditahan di sebuah bangunan hotel yang tidak lagi beroperasi dalam Op Noda di Jalan Pasar Baharu, Pudu malam tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata mereka terdiri daripada 229 lelaki dan 34 wanita yang berusia lingkungan 20 tahun hingga ke 40 tahun.

Katanya, daripada 34 wanita yang tahan, 20 adalah pelacur yang mana selebihnya adalah warga asing yang menyewa bilik di hotel tersebut.

Kesemua mereka terdiri daripada rakyat China, Nepal, Pakistan, India, Vietnam, Thailand dan Indonesia selain warga tempatan.

Katanya, modus operandi mereka adalah pelacur-pelacur itu akan mengenakan bayaran sekitar RM50 hingga RM100 kepada pelanggan di lobi hotel sebelum dibawa ke tingkat atas.

“Bangunan berkenaan kebanyakannya disewa oleh pendatang dan terdapat aktiviti persundalan dijalankan di premis itu.

"Warga-warga asing ini akan menjalani saringan air kencing bagi menentukan sama ada mereka ini terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya.

Dalam serbuan itu juga, pihaknya menahan seramai 14 kanak-kanak yang merupakan pendatang asing dan mereka akan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.

“Sekiranya mereka memiliki dokumentasi mereka akan dilepaskan kembali,” katanya.

Allaudeen berkata, mereka juga disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)( c ) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

GRACE AISYAH KEDAYAN