fb fb fb fb fb

PDRM siasat dakwaan GISB terlibat eksploitasi kanak-kanak

Ayob Khan Mydin Pitchay

BANGI, 7 September- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan ke atas Global Ikhwan Sdn. Bhd. (GISB) berhubung dakwaan penglibatan pihak itu dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan PDRM telah menerima empat laporan terbaru di Selangor berkaitan kes tersebut.

"Kami sedang mengumpulkan statistik untuk seluruh Malaysia. Di Selangor sahaja, terdapat empat laporan terbaru yang disiasat di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak kerana eksploitasi kanak-kanak untuk mengumpul derma," katanya.

Tambahnya lagi, PDRM menjangka akan menerima laporan tambahan.

"Mungkin ada laporan lain yang sedang dikumpulkan," jelas Ayob Khan pada sidang media di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Beliau turut berkata GISB dipercayai serpihan daripada kumpulan ajaran sesat yang berada dalam pemantauan Cawangan Khas PDRM.

"Dibawah pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), terdapat 154 ajaran sesat.

"Dalam rekod PDRM, kita pantau 114 kes, dengan 14 daripadanya aktif dan lapan dalam pemantauan," katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Awam ke-20 2024 di UKM dekat sini.

SITI AISHAH MD ISA