fb fb fb fb fb

Pengasuh taska disyaki bunuh bayi lapan bulan direman seminggu

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan reman sehingga Jumaat bagi membolehkan siasatan dijalankan.

AYER KEROH, 7 September- Seorang pengasuh sebuah taman asuhan kanak-kanak (Taska) di Taman Kelemak Utama di sini direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang bayi lelaki berusia lapan bulan semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Melaka, Nor Syaliati Mohd Sobri bermula hari ini bagi melakukan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu suspek tiba di mahkamah dengan diiringi pegawai polis kira-kira jam 9.30 pagi.

Suspek yang juga ibu kepada tiga anak berusia dua, enam dan lapan tahun itu ditahan pasukan Bahagian (D11) Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) kira-kira jam 3.30 petang semalam di taska terbabit.

Pada Jumaat dilaporkan seorang bayi, Muhammad Al Fateh Mohd Fikry Amri berusia lapan bulan dipercayai meninggal dunia di taska itu.

Difahamkan mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bapa kepada kanak-kanak itu, Mejar Mohd Fikry Amri Abd Halim, 39, meluahkan rasa terkilan dan sedih kerana mangsa didakwa dibedung, disumbat botol susu dan ditekup dengan bantal oleh suspek.

Mohd Fikry Amri yang berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi berkata, tindakan tidak berperikemanusiaan pengasuh di taska itu terhadap bayinya dilihat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pusat jagaan itu bersama pihak polis.

Jenazah bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kelemak setelah selesai proses bedah siasat pada malam Jumaat.

Siasatan juga mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen walaupun sudah empat tahun beroperasi dan bayi tersebut pula baru lima hari dihantar ke taska itu.

ZEHRA BINTI ZAMBRI