LABUAN, 7 September – Lima nelayan, termasuk seorang warga tempatan dan empat warga asing berusia antara 18 hingga 55 tahun, telah ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan, disyaki terlibat dalam aktiviti mengebom ikan di perairan Pulau Tiga.
Menurut Pengarah Zon Maritim Labuan, Izwanhadi Idros, kejadian itu terbongkar ketika anggotanya melakukan rondaan di kawasan berkenaan dan melakukan pemeriksaan ke atas sebuah bot.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, empat warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kami turut menemukan peralatan menyelam dan hasil tangkapan ikan seberat 200 kilogram," katanya.
Pemeriksaan ke atas ikan mendapati organ dalaman telah hancur, dipercayai kesan daripada aktiviti pengeboman ikan.
Penggeledahan ke atas bot tersebut juga menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk aktiviti haram ini.
Kesemua nelayan bersama bot dan hasil tangkapan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
"Kes sedang disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963," tambah Izwanhadi.
Nilai keseluruhan rampasan, termasuk bot serta 200 kilogram ikan yang ditangkap melalui aktiviti pengeboman, dianggarkan bernilai RM80,000.