KOTA BHARU, 7 September – Kes penyeludupan diesel di Kelantan menunjukkan penurunan ketara sebanyak 95 peratus sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang mula dikuatkuasakan pada Jun lalu.
Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail, data menunjukkan hanya tiga kes penyeludupan diesel direkodkan.
Katanya, angka itu direkodkan dari Jun hingga Ogos, berbanding sekitar 50 kes sebelum dasar penyasaran subsidi dilaksanakan.
"Daripada tarikh itu hingga sekarang, kita cuma ada tiga kes sahaja, mungkin melibatkan stok lama atau sebagainya. Penurunan ini membuktikan keberkesanan langkah kerajaan untuk menangani penyeludupan diesel di negeri Kelantan
"Alhamdulillah, langkah yang diambil oleh kerajaan bagi menangani penyeludupan diesel di Kelantan berjaya, namun situasi di negeri lain mungkin berbeza," katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Jualan Ihsan Rahmah Madani di sebuah pasar raya di sini, hari ini.
Azman turut memaklumkan bahawa penyeludupan petrol menunjukkan peningkatan ketara sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, dengan 78 kes dicatatkan dari Januari hingga Ogos, berbanding hanya 17 kes sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, lebih 80 jenis barangan keperluan asas dijual sempena Jualan Ihsan Rahmah dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.