fb fb fb fb fb

KPDN serbu stor haram di Genting simpan LPG

KPDN menemui menemui 39 tong LPG, 272 kilogram minyak masak dalam paket, dan 168 kilogram gula pasir bertapis kasar di sebuah premis Genting Highland/Foto KPDN

RAUB, 7 September – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pahang telah menyerbu sebuah premis di Genting Highlands yang disyaki menyimpan barang kawalan secara haram.

Operasi dijalankan pada pukul 12.30 tengah malam Jumaat melibatkan empat anggota penguat kuasa KPDN Cawangan Raub.

Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin, berkata serbuan dilakukan hasil daripada aduan pengguna yang melaporkan adanya penjualan dan penggunaan Gas Petroleum Cecair (LPG) tanpa lesen.

Katanya, premis terbabit didakwa dijalankan oleh syarikat milik warga asing.

"Hasil pemeriksaan, kami menemui 39 tong LPG, 272 kilogram minyak masak dalam paket, dan 168 kilogram gula pasir bertapis kasar yang disyaki untuk tujuan perdagangan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM2,196, dan semua barang kawalan serta dokumen berkaitan telah disita untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Namun, Jezlily menjelaskan bahawa syarikat tersebut adalah milik warga tempatan, bukan milik warga asing seperti yang dilaporkan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di lokasi yang tidak dilesenkan oleh Pengawal Bekalan.

Sejak Januari hingga 6 September 2024, KPDN Pahang telah menerima 869 aduan daripada pengguna, di mana 10 peratus daripadanya berkaitan dengan Akta Kawalan Bekalan 1961, dan dua kes telah dibuka hasil siasatan.

"Kami berjaya menyelesaikan lebih 97 peratus daripada jumlah aduan yang diterima," tambah Jezlily.

GRACE AISYAH KEDAYAN