fb fb fb fb fb

PDRM patuhi perintah mahkamah gali semula jasad pelatih PALAPES untuk bedah siasat kedua

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar / Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan akan mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam yang membenarkan permohonan menggali semula jasad pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES), Syamsul Haris Shamsudin, yang meninggal dunia pada 28 Julai lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata siasatan kes berkenaan akan diambil alih sepenuhnya oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Bukit Aman, berkuat kuasa serta-merta.

“PDRM komited menjalankan siasatan secara menyeluruh, profesional dan berlandaskan undang-undang.

"PDRM memastikan siasatan dilaksanakan secara telus, adil dan berintegriti, selaras dengan prinsip rule of law, demi menegakkan keadilan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Jenayah Shah Alam membenarkan permohonan keluarga Allahyarham untuk menggali semula jasad beliau bagi tujuan bedah siasat kedua.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan yang difailkan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, melalui firma guaman Tetuan Naran Singh & Co.

Perintah mahkamah menetapkan jasad Allahyarham digali semula dari Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Selangor, sebelum dibedah siasat oleh pakar forensik Hospital Kuala Lumpur.

Proses berkenaan turut akan disaksikan oleh pakar forensik bebas, Datuk Seri Dr Bhupinder Singh, serta peguam keluarga.

Laporan bedah siasat kedua itu perlu disediakan dalam tempoh munasabah, dan satu salinan akan diserahkan kepada pihak peguam keluarga.

 

BERITA BERKAITAN:

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN