fb fb fb fb fb

Ejen hartanah direman kerana disyaki kemuka dokumen palsu

Suspek disyaki mengemukakan sebut harga yang dipinda

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Seorang ejen hartanah sebuah syarikat di Terengganu direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kes mengemukakan dokumen mengandungi butiran palsu, melibatkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah bernilai RM16,000.

Perintah reman sehingga 29 Ogos itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Terengganu.

Siasatan awal mendapati suspek disyaki mengemukakan sebut harga yang dipinda bagi kos pengubahsuaian sebuah rumah kepada pemilik pada tahun 2022.

Selain itu, suspek juga dipercayai menerima wang rasuah daripada pemilik rumah berkenaan melalui transaksi pemindahan ke akaun bank peribadinya.

Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana mengemukakan dokumen palsu dengan niat memperdayakan pihak lain.

HASRON BIN HASSAN