TUMPAT, 26 Ogos - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 merampas produk kosmetik bernilai RM511,000 selepas menahan sebuah kenderaan di pengkalan haram Kebun, Pengkalan Kubor, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggotanya mengesan dua lelaki sedang memindahkan kotak dari sebuah perahu ke kenderaan sebelum kedua-duanya melarikan diri ke Thailand.
“Pemandu kenderaan, seorang lelaki tempatan berusia 63 tahun berjaya ditahan. Pemeriksaan lanjut menemukan 15 kotak mengandungi lebih 5,000 unit produk kosmetik yang dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, semua rampasan diserahkan kepada pihak Kastam Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.