fb fb fb fb fb

Pasukan Unit Forensik ambil sampel, bantu siasatan kes bunuh Zayn Rayyan

Anggota Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) tiba di kediaman Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Mattin, 6, di Apartment Idaman, Damansara Damai, bagi menjalankan siasatan/Foto Bernama

PETALING JAYA, 10 Disember - Pasukan Unit Forensik Kontinjen Selangor tiba di kediaman kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, di Apartment Idaman, Damansara Damai kira-kira pukul 4.20 petang untuk mengambil sampel bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak itu.

Turut serta bersama-sama pasukan itu ialah tiga anggota polis berpakaian preman dengan membawa satu kotak berwarna hitam memasuki blok kediaman Zayn Rayyan.

Selepas hampir 45 minit berada di dalam rumah keluarga itu, tiga anggota polis yang tidak beruniform itu dilihat keluar dari blok kediaman itu dengan dua orang daripadanya membawa empat beg kertas berwarna coklat dipercayai mengandungi sampel tersebut, manakala pasukan forensik pula membawa sebuah kotak berwarna hitam.

Kira-kira pukul 5.00 petang pasukan forensik meninggalkan kawasan berkenaan, menaiki kenderaan pacuan empat roda.

Tiga anggota polis itu turut meninggalkan tempat itu sejurus kemudian.

Zayn Rayyan, 6 tahun, dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lepas di Damansara Damai sebelum ditemukan meninggal dunia dekat aliran anak sungai yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

TETITIA YUSOFF