fb fb fb fb fb

Pasukan khas JSJ siasat kehilangan Pamela Ling, suami antara dipanggil

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain ditemui pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024, di Bukit Aman

KUALA LUMPUR, 6 Mei - Polis sedang menyiasat beberapa individu termasuk suami kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh kini berhubung kehilangan wanita berkenaan sejak 9 April lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan masih giat dijalankan dan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk menubuhkan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes penculikan ini secara menyeluruh.

"Siasatan menjurus kepada rakaman CCTV di tempat kejadian dan saksi. Jika tidak silap saya seramai 16 saksi termasuk suami mangsa diambil keterangan awal. Kita juga akan mengambil keterangan anak-anak dia (Pamela) di Singapura," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM 2024, di Bukit Aman.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menyiasat dakwaan berkaitan pemandu e-hailing yang membawa mangsa, termasuk kemungkinan penglibatan individu yang menyamar sebagai anggota polis.

"Kita teruskan siasatan adakah ada pihak yang menyamar sebagai polis ataupun sebaliknya dan kita tidak akan bertolak ansur jika ada anggota yang didapati terlibat," kata Tan Sri Razarudin.

Datin Seri Pamela Ling Yueh dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 1.30 petang hingga 2.10 petang.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa Pamela telah dipanggil hadir ke ibu pejabatnya pada tarikh berkenaan, namun tidak muncul seperti dijadualkan. Peguamnya juga telah membuat laporan polis pada hari sama.

Menurut kenyataan itu, tanggungjawab untuk mengesan keberadaan Pamela kini terletak bawah bidang kuasa polis dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi serta membenarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh.

TETITIA YUSOFF