fb fb fb fb fb

Sindiket curi kenderaan di Kedah tumpas, tiga maut dan empat 'jokie' ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah,  Datuk Seri Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain

ALOR SETAR, 6 Mei - Tiga penjenayah ditembak mati dalam satu serbuan sindiket mencuri kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai untuk diseludup ke luar negara, di sebuah inap desa di Sik pada 1 Mei lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah,  Datuk Seri Sri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, turut ditahan empat warga Thailand yang disyaki berperanan sebagai "jokie" atau penghantar kenderaan curi ke sempadan utara Thailand.

Dalam serbuan kira-kira pukul 2.30 itu, berlaku kejadian berbalas tembakan yang mengakibatkan dua daripada penjenayah maut di bilik tidur utama dan seorang lagi berjaya melarikan diri lalu bertindak menyerang anggota polis menggunakan parang.
 
Salah seorang anggota polis dilaporkan turut cedera terkena libasan parang.
 
Sindiket terbabit dipercayai aktif  di empat negeri iaitu di Melaka, Selangor, Pahang dan Perak dan sekurang-kurang 73 kecurian kereta pacuan empat roda direkodkan sejak 2023.
 
"Dalam kejadain tembak menembak didapati penjenayah menggunakan dua pucuk senjata api yang dipercayai digunakan untuk mencuri kenderaan. Kita kenal pasti ketua kumpulannya seorang warga negara asing dan siasatan masih dijalankan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.
 
Turut hadir pada majlis itu ialah, Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Adzli Abu Shah .
 
Dalam pada itu, hasil kerjasama unit risikan sempadan URS Malaysia Police Laison Office (MPLO) dan Polis Diraja Thailand (RTP), polis berjaya mengesan dan mendapatkan semula dua kereta pacuan empat roda yang diseludup ke sempadan melalui jalan tikus.

Kesemua suspek didapati mempunyai banyak rekod jenayah termasuk dadah dan curi kenderaan.
 
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaaan membunuh serta Seksyen 3 Akta Senjata Api ( Penalti lebih berat ) kerana melepaskan tembakan ketika melakukan kesalahan berjadual.

TETITIA YUSOFF