fb fb fb fb fb

Pasangan Vietnam hadapi tuduhan edar 9.2kg MDMA

Seorang lelaki dan seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah, Mac tahun lalu / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 12 Mac – Seorang lelaki dan seorang wanita warga Vietnam dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mengedar dadah, Mac tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Lee Chen Khang, 29, dan Nguyen Thi My Tien, 24, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atifah Hazimah Wahab.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengedar dadah jenis MDMA seberat kira-kira 9.2 kilogram di Taman Johor Jaya, di sini, pada 4 Mac 2025.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikanTimbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, kedua-dua tertuduh turut didakwa atas pertuduhan memiliki dadah jenis ketamin pada bulan yang sama tahun lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 12(3) akta sama.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan laporan kimia.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN