PUTRAJAYA, 12 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 16 individu kerana disyaki terlibat rasuah membabitkan pendaftaran lewat kelahiran bertaraf bukan warganegara kepada warganegara dan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan palsu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua suspek berusia 20 hingga 70-an, ditahan menerusi Op Outlander dan Op Birth yang dilancarkan SPRM bermula 11.00 pagi semalam.
Menerusi op tersebut, SPRM telah menyerbu beberapa premis termasuk klinik dan firma guaman sekitar Lembah Klang dan Johor.
Serbuan itu berpandukan maklumat hasil risikan kira-kira setahun serta kerjasama dan perkongsian maklumat antara SPRM dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Bagi Op Outlander, suspek utama merupakan penjawat awam disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan membantu permohonan sebagai pendaftaran lewat kelahiran, iaitu untuk yang melebihi tempoh 60 hari selepas kelahiran.
"Dipercayai kegiatan ini turut didalangi oleh seorang pengamal perubatan bergelar 'Datuk Seri' yang memiliki beberapa buah klinik dan pusat bersalin serta berperanan mengeluarkan dokumen pengesahan kelahiran palsu.
Menerusi Op Birth pula, Datuk Seri Ahmad Khusairi berkata tiga suspek utama disyaki bertindak sebagai ejen, melakukan perbuatan tersebut dengan menawar dan memberikan rasuah kira-kira RM18,000 kepada seorang penjawat awam.
Rasuah tersebut diberi sebagai dorongan untuk membantu permohonan pendaftaran kelahiran menggunakan dokumen sokongan seperti surat pengesahan kelahiran hospital didapati palsu.
Sementara itu, enam orang awam yang disyaki menggunakan khidmat ejen berkenaan turut ditahan kerana menjadi pemohon yang mengemukakan permohonan daftar kelahiran.
Turut ditahan seorang pengamal undang-undang disyaki sebagai orang tengah di antara ejen dan pemohon.
Beliau memaklumkan kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat SPRM dan SPRM Selangor bagi membantu siasatan dan akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor bagi tujuan permohonan reman hari ini.
"Bagi dua suspek termasuk individu bergelar Datuk Seri yang mempunyai masalah kesihatan telah dilepaskan dengan jaminan SPRM apabila selesai dirakam percakapan", katanya.
Jelas beliau penangkapan ini mencerminkan komitmen teguh SPRM dalam memastikan usaha memerangi rasuah khususnya yang melibatkan perkhidmatan awam demi memastikan aspek keselamatan negara terjamin,” katanya.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.