fb fb fb fb fb

JKDM Pulau Pinang gagalkan cubaan seludup mercun & minuman keras

Foto Bernama

BUTTERWORTH, 12 Mac – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang merampas mercun dan bunga api bernilai RM225,343 dengan jumlah cukai sebanyak RM349,282 dalam dua serbuan di Seberang Jaya dan Nibong Tebal pada 24 Januari lalu.

Pengarah Kastam negeri, Rohaizad Ali berkata dalam serbuan itu, sebanyak 1,186 karton mercun dan bunga api dengan anggaran berat 7,818 kilogram dirampas, dipercayai untuk dijual sempena Hari Raya Aidilfitri.

Dalam serbuan pertama kira-kira pukul 10.40 pagi, pegawai Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang menyerbu sebuah premis di kawasan kilang Seberang Jaya.

Pemeriksaan menemukan 718 karton mercun dan bunga api seberat 1,510 kilogram yang tidak mematuhi spesifikasi permit import Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Seorang wanita tempatan turut diperiksa bagi membantu siasatan.

Dalam serbuan kedua, pasukan menyerbu sebuah stor di Simpang Ampat dan menemukan 468 karton atau 6,308 kilogram mercun serta bunga api pelbagai jenama yang juga tidak mematuhi garis panduan permit import.

“Mercun dan bunga api adalah barang larangan yang hanya boleh diimport dengan lesen sah di bawah Butiran 46, Bahagian I, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya dalam sidang media di Bagan Jermal, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki atau menyimpan barang larangan.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda antara 10 hingga 20 kali nilai barang atau sehingga RM500,000, atau dipenjara antara enam bulan hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

Dalam operasi berasingan pada 9 Januari lalu, JKDM turut merampas minuman keras pelbagai jenama bernilai kira-kira RM103,668 dalam satu serbuan di Bukit Mertajam.

Pemeriksaan di sebuah stor menemukan 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras yang disimpan tanpa cukai sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti individu atau sindiket yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN