fb fb fb fb fb

Pasangan kekasih didakwa rompak barang kemas bernilai RM5.7 juta di Pasir Mas

Foto fail/RTM

PASIR MAS, 30 Oktober -Pasangan kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan barang kemas bernilai RM5.755 juta dan bersubahat dengan perbuatan itu, pada 21 Oktober lalu.

Tertuduh lelaki, Wee Chin Ooi, 49 tahun dan teman wanitanya, Wee Fei Fang, 47 tahun, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali. 

Mengikut pertuduhan, Chin Ooi didakwa melakukan rompakan barang kemas bernilai RM5.755 juta dan ketika kejadian lelaki itu turut menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah Kedai Pajak Gadai Aik Lee Jaya Sdn Bhd di Jalan Besar, Pasir Mas, pukul 1.00 tengah hari, pada 21 Oktober lalu.

Pertuduhan itu didakwa bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat atau penjara.

Dalam pada itu, tertuduh wanita, Fei Fang didakwa bersubahat dengan Chin Ooi yang melakukan suatu rompakan barang kemas dengan nilai, pada tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 109 kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'ilah Harizan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, K M Maalinni.

Terdahulu, Siti Aiysha Na'ilah tidak mencadangkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh dan memohon satu tarikh lain untuk serahan dokumen.

Mahkamah kemudiannya, tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen. 

Selasa lalu, media melaporkan, pengurus premis pajak gadai dan teman lelakinya ditahan selepas dipercayai menjadi dalang rompakan di premis tempat dia bekerja dengan melarikan barang kemas bernilai RM5.7 juta, di Pasir Mas.

TETITIA YUSOFF