fb fb fb fb fb

Operasi bersepadu JIM tahan 8 PATI di Labuan

Foto Facebook JIM

LABUAN, 30 Oktober - Lapan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah penempatan di Labuan.

Pengarah JIM Labuan, Raymond Entalai dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bertindak atas maklumat awam dan risikan yang telah dijalankan.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 12.15 tengah malam itu telah memeriksa seramai 56 individu terdiri daripada 21 warganegara Malaysia dan 35 warganegara asing.

PATI yang ditahan merupakan seorang lelaki, dua perempuan, tiga kanak-kanak lelaki dan satu kanak-kanak perempuan warganegara Filipina, masing-masing berumur di antara satu hingga 37 tahun.

Kesemua individu yang ditahan disyaki melanggar kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa, JIM Labuan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.

Operasi itu melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, satu notis saman kepada saksi turut dikeluarkan.

Tambah kenyataan tersebut, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menggaji dan melindungi PATI.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN