fb fb fb fb fb

Pasangan abai anak hingga cedera mengaku tidak bersalah

Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandung mereka / Foto RTM

ALOR GAJAH, 13 Mei – Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Gajah hari ini atas pertuduhan mengabaikan anak kandung mereka, seorang bayi lelaki berusia dua bulan sehingga mengalami kecederaan minggu lalu.

Tertuduh, Nur Khairunnisa Jusni dan suaminya Muhamad Nor Azim Abdullah masing-masing berusia 22 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Hakim Aiza Khairuddin.

Dalam prosiding tersebut, Nur Khairunnisa menafikan melakukan perbuatan itu dan mendakwa bayi berkenaan terjatuh.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan tersebut sebagai penjaga sah kepada bayi bernama Iman Adyan Abdul Rahman didakwa mendedahkan mangsa kepada situasi yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal di bahagian kepala dan badan.

Perbuatan itu berlaku di sebuah rumah di Jalan Seri Pelangi 4, Taman Seri Pelangi, Alor Gajah, antara 2 hingga 5 Mei 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan sepanjang tempoh perbicaraan.

Mahkamah menetapkan 12 Jun 2025 sebagai tarikh sebutan semula kes.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN