KOTA BHARU, 13 Mei – Dua lelaki yang disyaki terlibat dalam enam kes samun dan satu kes cubaan samun di beberapa kedai serbaneka 24 jam sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu direman selama empat hari bermula hari ini.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Amin Rashidi Ramli di Mahkamah Majistret Kota Bharu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dalam kenyataan memaklumkan, suspek berusia awal dan lewat 20-an itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan kira-kira pukul 6.45 pagi semalam di kawasan Jalan Sultanah Zainab, Kota Bharu.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek terlibat dalam enam kes samun berkawan di premis serbaneka sekitar Pengkalan Chepa dan Kota Bharu, selain merancang cubaan samun di sebuah lagi premis serbaneka di Jalan Sultan Ibrahim pada pukul 6 pagi hari yang sama.
“Modus operandi mereka ialah masuk ke premis dengan bersenjatakan satu objek menyerupai pistol dan mengarahkan pekerja kaunter menyerahkan wang tunai,” katanya.
Tambah Mohd Yusoff, pihak polis turut merampas sepucuk pistol tiruan jenis Walther P99, dua motosikal, serta beberapa barangan peribadi yang dipercayai digunakan dalam kegiatan samun tersebut.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika disabitkan kesalahan.