PUTRAJAYA, 13 Mei –Pihak pendakwaan membantah permohonan semakan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang mengekalkan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berkaitan kontrak penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan bantahan awal tersebut pada 25 April lepas atas alasan permohonan itu bersifat pramatang.
Turut bersidang pada prosiding hari ini ialah Hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.
Terdahulu, peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Peter berkata, pihaknya telah membuat permohonan untuk mendapatkan alasan penuh penghakiman, namun ia masih belum siap.
"Pihak kami (pemohon) ada meminta ‘court recording transcription (CRT)’, namun kami tidak mendapat CRT itu dan yang ada dengan kami hanya nota prosiding sahaja," katanya yang turut memohon supaya semakan itu diteruskan dengan alasan penghakiman ringkas yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan sebelum ini.
Beliau berkata, pihaknya juga memfailkan satu perakuan segera memandangkan kes itu melibatkan kepentingan awam, dengan status pemohon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah masih lagi tergantung.
Mahkamah kemudian menetapkan 16 Mei ini untuk sebutan secara e-Review (Zoom) bagi menentukan tarikh pendengaran semakan Peter dan bantahan awal pihak pendakwaan.
Pada 14 Mac lepas, Peter memfailkan notis usul memohon agar Mahkamah Rayuan mengkaji semula serta mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac lepas di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan.