fb fb fb fb fb

Papar harga mengelirukan, farmasi didenda RM50,000

Sebuah syarikat farmasi didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas disabitkan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan terhadap harga barangan kepada pengguna / Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 28 Mei – Sebuah syarikat farmasi, Lau & Tan Pharmacy didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu selepas disabitkan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan terhadap harga barangan kepada pengguna.

Hakim Nazlyza Mohamad Nazri menjatuhkan hukuman tersebut ke atas syarikat berkenaan yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Lau Tiam Kwee, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Kesalahan berkenaan melibatkan barangan susu kambing yang dipamerkan dengan tanda harga RM89.90, sedangkan harga sebenar yang dikenakan kepada pengguna adalah RM91.90.

Perbuatan itu dikesan berlaku pada 25 Mei 2022 di sebuah cawangan farmasi terbabit di Pusat Komersial Cabang Tiga, Kuala Terengganu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999, yang memperuntukkan hukuman denda jika sabit kesalahan kerana memberikan gambaran palsu atau mengelirukan berhubung harga sesuatu barangan.

Dalam penghakimannya, mahkamah menegaskan bahawa hukuman bukan sekadar untuk memberikan peringatan kepada tertuduh, malah sebagai pengajaran kepada seluruh masyarakat mengenai kepentingan ketelusan dalam urusan jual beli.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Wan Mohd I'zzat Wan Abdullah bersama Pegawai Pendakwa KPDN, Nur Amirah Mokhtar.

Sementara tertuduh diwakili oleh peguam bela, Nurul Izzah Mohd Nazri.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN