SHAH ALAM, 28 Mei – Seramai 83 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan dalam satu serbuan menerusi Op Sasar yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor di dua buah gudang pembungkusan barangan asas di Seksyen 27, Alam Megah, di sini hari ini.
Penahanan membabitkan 68 warga Myanmar, 10 warga Bangladesh dan lima warga Pakistan berumur antara 22 hingga 50 tahun.
Menurut Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin operasi yang bermula pada pukul 10 pagi itu melibatkan seramai 27 pegawai penguat kuasa yang memeriksa 150 individu di kedua-dua lokasi terbabit.
“Seramai 83 PATI telah ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, tinggal melebihi tempoh dibenarkan mengikut Seksyen 15(1)(c), dan melanggar syarat pas di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam sidang media selepas operasi di Pejabat Imigresen Selangor, di sini.
Tambah beliau, pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang dipercayai merupakan pengurus premis untuk membantu siasatan.
Kesemua yang ditahan telah dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut serta tindakan susulan.
Dalam pada itu, Khairrul Aminus turut memaklumkan JIM sedang melaksanakan Program Repatriasi Migran 2.0 bermula 19 Mei 2024 hingga 30 April 2026.
Program tersebut memberi peluang kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sah untuk tampil secara sukarela, membayar kompaun, dan pulang ke negara asal masing-masing.