CYBERJAYA, 19 Ogos - Individu di sebalik akaun TikTok “Dato’ Prof Dr. Tunku Iskandar” yang mendakwa terlibat dalam proses bedah siasat kematian Zara Qairina, bukan seorang pakar patologi. Perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan Malaysia.
Hasil risikan, individu itu berjaya dikesan di sekitar Kota Damansara lewat malam tadi, selepas pihak berkuasa mengambil keterangan dua individu yang turut berada dalam sesi “TikTok Live” berkenaan.
Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk rakaman keterangan, manakala peralatan komunikasinya turut dirampas bagi tujuan analisis lanjut.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), dalam kenyataan menegaskan penyebaran maklumat palsu terutama berkaitan kematian, tragedi atau nahas adalah kesalahan serius kerana boleh menyinggung keluarga mangsa, mengelirukan masyarakat serta mengganggu siasatan pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, siasatan turut dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.