BUKIT BERUANG, 19 Ogos - Polis merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM4.16 juta dalam beberapa siri operasi di Lembah Klang dan Melak pada 13 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Hussein Omar Khan berkata, menerusi operasi sekitar pukul 4.15 hingga 6.00 petang itu, dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 25 hingga 46 tahun ditahan.
Menerusi operasi pertama di sekitar ibu negara, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan bersama seorang lelaki warga asing.
Pihaknya merampas dadah jenis ganja seberat 26.73 kilogram (kg) selepas melakukan pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek serta kereta yang dinaiki.
Penahanan dua suspek terbabit telah membawa polis ke sebuah kondominium yang dipercayai menjadi stor penyimpanan dadah sindiket terbabit.
"Manakala operasi kedua di sekitar Ayer Molek, Melaka pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menangkap suspek ketiga yang merupakan seorang lelaki tempatan.
"Menerusi pemeriksaan yang dilakukan ke atas kenderaan suspek, pihak JSJN berjaya merampas dadah jenis heroin base kira-kira 18.25 kg. Daripada tiga operasi ini jumlah keseluruhan dadah yang dirampas iaitu ganja 94.84 kg, bunga ganja 2.58 kg, ketamin 42.23 kg, syabu pil eramin dan juga heroin base," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini.
Selain dadah, polis turut menyita sebuah kereta yang dianggarkan bernilai RM70,000 serta merampas dua lagi kenderaan.
Datuk Hussien berkata risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak April lepas dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan lebih 2.8 juta orang.
Ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati seorang daripada tiga suspek positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) manakala dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 14 Ogos hingga 20 Ogos untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.