fb fb fb fb fb

Nelayan didenda RM10,000 beri rasuah kepada pegawai Maritim

Jamri Abdul Razak, 28 mengaku bersalah memberi suapan kepada pegawai Maritim dua tahun lalu

ALOR SETAR, 18 Ogos – Seorang nelayan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM5,000 kepada pegawai Maritim Malaysia (APMM) dua tahun lalu.

Tertuduh, Jamri Abdul Razak, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan alternatif dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemalini.

Mengikut kertas pertuduhan, Jamri didakwa memberikan wang tunai tersebut kepada Penolong Pengarah Kanan APMM Kedah dan Perlis.

Dia melakukan kesalahan itu di Langkawi pada 22 Jun 2022.

Perbuatannya itu sebagai dorongan untuk melepaskan tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM10,000 dan memerintahkan wang rasuah berjumlah RM5,000 dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

GRACE AISYAH KEDAYAN