KUALA PERLIS, 18 Ogos -Taktik sindiket penyeludupan dadah menjadikan pelantar tanda arah suar sebagai transit membawa masuk dadah dari negara jiran berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis.
Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, ia hasil pemeriksaan di kawasan pelantar tanda arah suar yang menjadi perairan pintu masuk ke Kuala Perlis dari negara jiran pada pukul 1.00 pagi pada 7 Ogos lalu.
Katanya, anggota kastam cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis yang membuat pemeriksaan merampas empat guni seberat 30 kilogram (kg) berisi bunga ganja bernilai lebih RM2.94 juta yang diletakkan di pelantar berkenaan.
Empat guni yang ditinggalkan ditemukan di atas pelantar tanda arah suar pada kedudukan 1.5 kilomter dari kawasan Pantai Kuala Perlis dan dua kilometer dari sempadan maritim Malaysia-Thailand.
"Pemeriksaan rapi terhadap bungkusan guni tersebut rmendapati terdapat 146 bungkusan plastik lutsinar kedap udara berisi tumbuhan kering disyaki dadah jenis kanabis. Berat keseluruhan komoditi tersebut dianggarkan sebanyak 30 kg dan bernilai RM2,940,000," katanya dalam sidang media, di sini.
Menurut beliau, menggunakan pelantar tanda arah suar sebagai transit dipercayai menjadi taktik terbaru sindiket penyeludupan dadah untuk membawa masuk dadah ke negara ini untuk dipasarkan sekitar negeri utara semenanjung Malaysia dan Lembah Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 kali sebatan.