KUALA LUMPUR, 19 Ogos - Tiga premis tekstil terkenal di ibu negara dikompaun susulan menggunakan alat sukat liner tidak ditentusahkan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur, Mohd Sabri Seman berkata, ketiga-tiga premis berkenaan dikesan melakukan kesalahan tersebut dalam Ops Pematuhan Undang-Undang di bawah KPDN bermula 12 tengah hari tadi.
Menurutnya, dalam operasi itu, empat kompaun turut dikeluarkan berkaitan harga dalam pemeriksaan di kawasan berkenaan.
Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.
“Bagi pembaris untuk menyukat pembeli kain potong ada dua perkara pengguna boleh tengok yang pertama pada pembari tersebut sepatutnya ada logam di kedua-dua hujung kayu pembaris tersebut, mesti ada logam sekiranya tak ada ia adalah tidak sah, yang kedua mohon semak dan tengok dia mesti ada label pensijilan yang sah daripada agen kpdnkn,” katanya selepas mengetuai operasi berkenaan di Jalan Tuanku Abdul Rahman.##