fb fb fb fb fb

Ops Gegar tumpaskan sindiket pelacuran di pusat hiburan

Ops Gegar yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Seramai 89 warga asing dan empat warga tempatan ditahan dalam Ops Gegar yang dijalankan Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya di sekitar Kuchai, Sri Petaling dan Cheras pada 9 Julai lalu.

Serbuan pertama kira-kira pukul 3 petang menyasarkan dua premis yang dipercayai menjadi sarang pelacuran. Seramai 26 wanita warga asing ditahan termasuk enam warga Thailand, lapan Indonesia, 11 Vietnam dan seorang Myanmar, disyaki menawarkan perkhidmatan seks.

Turut diberkas, dua lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang bekerja di premis terbabit serta empat lelaki tempatan dipercayai bertindak sebagai penjaga atau ‘kapten’.

Sindiket beroperasi di hotel bajet dengan mengenakan bayaran antara RM160 hingga RM480, menggunakan laman web dan aplikasi WhatsApp serta Telegram bagi mendapatkan pelanggan.

Serbuan kedua pada pukul 10.55 malam pula menyasarkan sebuah pusat hiburan di Cheras yang menawarkan khidmat pelayan pelanggan (GRO) warga asing. Hasil pemeriksaan ke atas 96 individu, 61 warga asing ditahan terdiri daripada 44 wanita Thailand, dua Vietnam, empat Laos, dua Myanmar, lima lelaki Bangladesh dan empat lelaki Thailand.

Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63. Tujuh warga tempatan turut diberikan notis hadir bagi membantu siasatan.

Jabatan Imigresen Malaysia akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta ATIPSOM 2007.

TUN JULIA MOHD TAHIR