fb fb fb fb fb

113 PATI didakwa di mahkamah Pontian atas kesalahan imigresen

Antara kesalahan yang didakwa adalah tinggal di negara ini tanpa permit sah.

PONTIAN, 11 Julai - Seramai 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pontian, Johor semalam, atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tinggal di negara ini tanpa permit sah.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam kenyataan memaklumkan, antara kesalahan yang didakwa ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, salah guna pas lawatan kerja, kembali ke negara ini secara haram serta membenarkan PATI berada di premis.

Daripada jumlah tersebut, 66 individu bersama sebuah syarikat mengaku bersalah dan dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 12 bulan serta denda antara RM7,000 hingga RM40,000.

Sementara itu, 14 warga asing mengaku tidak bersalah dan lima lagi akan dibicarakan semula. Tiga PATI dilepaskan tanpa dibebaskan, manakala 25 tertuduh akan dibawa semula ke mahkamah bagi sebutan fakta kes dan hukuman.

Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c), Seksyen 36, Seksyen 55E(1) dan Peraturan 39(b) Akta Imigresen 1959/63.

TUN JULIA MOHD TAHIR