fb fb fb fb fb

Dua kapal tangki ditahan, 169,600 liter diesel dirampas di perairan Bintulu

FOTO Zon Maritim Bintulu

BINTULU, 11 Julai – Dua buah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram di perairan Bintulu.

Menurut Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah, kedua-dua tangkapan dibuat antara pukul 4.25 hingga 5.00 pagi semalam hasil rondaan aset Maritim Malaysia di bawah Operasi TIRIS 3.0 dan Operasi PERMAI 01/2019.

Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal sedang merapat dan dipercayai menjalankan aktiviti pemindahan minyak diesel tanpa sebarang kebenaran sah.

Kapal pertama dikendalikan empat kru terdiri daripada dua warga Indonesia termasuk nakhoda serta dua warga India, berusia antara 27 hingga 46 tahun.

Kapal kedua pula dikendalikan oleh empat kru; seorang warga Indonesia, seorang Myanmar, dan dua warga Vietnam berusia antara 25 hingga 48 tahun. Tiga daripada kru kapal itu juga didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Kesemua kru dan kapal ditahan bagi siasatan lanjut bawah beberapa perundangan, termasuk Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Akta Kastam 1967, dan Akta Imigresen 1959/63.

Sebanyak 169,600 liter minyak diesel turut disita dalam operasi berkenaan.

Maritim Malaysia mengingatkan sebarang pemindahan kargo di laut tanpa kebenaran bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh mengancam keselamatan pelayaran dan mencemarkan perairan negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE