fb fb fb fb fb

Operasi JIM, cekup perkhidmatan doktor 'warga asing' tidak bertauliah

Foto Jabatan Imigresen Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Mei - Sebuah klinik disyaki menawarkan perkhidmatan perubatan kepada warganegara asing menggunakan doktor tidak bertauliah diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Isnin lalu.

Ini menerusi satu Operasi Khas yang dijalankan di tiga lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban memaklumkan menerusi serbuan terhadap klinik itu, enam warga asing berumur lingkungan 23 hingga 57 tahun telah ditahan.

Individu tersebut terdiri daripada seorang lelaki warganegara Pakistan, yang dipercayai sebagai doktor tidak bertauliah dikenali sebagai ‘Maleeq’ dan tiga perempuan warganegara Myanmar yang dipercayai sebagai pembantu klinik.

Ini termasuk seorang perempuan warganegara Pakistan serta seorang perempuan warganegara India.

"Hasil risikan dan maklumat awam yang dikumpul selama dua minggu mendapati klinik tersebut telah beroperasi selama setahun dan menawarkan perkhidmatan perubatan kepada warganegara asing dengan harga murah serta menggunakan perkhidmatan doktor tidak bertauliah," kata Datuk Zakaria menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, bayaran yang dikenakan untuk setiap pesakit warganegara asing adalah sebanyak RM90 dan hanya boleh dilakukan secara dalam talian.

Hasil semakan mendapati lelaki warganegara Pakistan itu tinggal lebih masa manakala dua perempuan warganegara Myanmar masing-masing disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) selain memiliki kad UNHCR.

Warganegara asing lain pula tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di Malaysia.

"Pasukan operasi telah menyita buku log pesakit, cop klinik, pasport pelbagai negara antaranya Pakistan, pasport India dan Myanmar, peralatan perubatan, resit sijil sakit, telefon bimbit klinik dan baju pengamal perubatan untuk tujuan siasatan." katanya.

Kesemua warganegara asing ditahan atas kesalahan bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan Depot Imigresen KLIA untuk tindakan lanjut.

Kenyataan turut memaklumkan seorang lelaki warganegara Malaysia dan seorang perempuan warganegara Filipina telah diberi Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID