JOHOR BAHRU, 21 Mei - Seorang kontraktor bangunan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender membaik pulih jambatan di Yong Peng, empat tahun lalu.
Tertuduh Mohd. Izwan Mohd. Ali, 39 tahun membuat pengakuan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan dokumen palsu Kebenaran Khas Menyertai Tender diluar Pengkhususan Berdaftar CE02 Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), bagi tender membaik pulih jambatan di Jalan Kampung Paya, Yong Peng, Batu Pahat.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Majlis Daerah Yong Peng pada 27 April 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen 465 Kanun Keseksaan dan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Faizul Kamarozaman manakala tertuduh diwakili peguam Siti Nadia Yahya.
Mahkamah menetapkan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi serahan dokumen.