KUALA LUMPUR, 21 Mei - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pendatang tanpa izin (PATI), didalangi bapa dan anak lelakinya, warga tempatan dalam serbuan Ops Serkap di Jalan Chow Kit, malam tadi.
Kegiatan sindiket yang berselindung di sebalik kedai gambar dan jam tangan itu diserbu 15 pegawai dari Unit Perisikan, Sektor Operasi Bahagian Penguatkuasa, hasil siasatan selama sebulan.
Pengarahnya, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 7 petang itu telah menahan dua beranak berkenaan berusia 60 dan 34 tahun disyaki dalang kegiatan tersebut.
Katanya, barangan yang dirampas termasuk satu set komputer, komputer riba, mesin pencetak kad, mesin wang dan kad dilengkapi cip serta pelekat hologram seakan-akan tulen.
"Operasi ini menjumpai beberapa produk dikeluarkan premis tersebut, melibatkan i-Kad yang diberikan kepada pekerja asing yang mempunyai lawatan kerja sementara.
"Turut dijumpai beberapa kad yang disyaki palsu, kad CIDB yang digunakan pekerja asing sektor pembinaan, termasuk dokumen menyerupai MyKad dan MyKid palsu," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Wan Mohamed Saupee berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah berhubung dengan pelanggan melalui aplikasi WhatsApp dan meminta mereka menyediakan gambar berukuran passport serta bayaran secara dalam talian atau tunai.
Katanya lagi, bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan adalah dari RM60 hingga RM140 dan tempoh proses siap dalam masa satu hari.
Tambah beliau, kedua-dua suspek telah dibawa ke pejabat Sektor Operasi, Bahagian Penguatkuasa JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) 2001.