PUTRAJAYA, 9 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangka mendakwa kira-kira 20 pegawai bank di mahkamah pada akhir bulan ini atau awal Oktober depan, susulan perkembangan siasatan Op Sky.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, proses pemulihan aset berjumlah kira-kira RM250 juta sedang dijalankan.
“Proses pemulihan aset berjumlah kira-kira RM250 juta sedang dijalankan. Jika tiada penyelesaian dicapai, pihak terlibat akan dituduh di bawah Akta SPRM 2009 atau Akta Pengubahan Wang Haram 2001 kerana enggan bekerjasama dalam proses pemulihan tersebut," katanya.
Terdahulu, SPRM membekukan 98 akaun syarikat dan individu bernilai RM22.07 juta, hasil siasatan kes penggubahan wang haram yang berpunca daripada kegiatan rasuah, pemalsuan dokumen serta penipuan bagi mendapatkan kelulusan pinjaman peribadi.