KOTA KINABALU, 9 September - Mahkamah Koroner Kota Kinabalu diberitahu, prognosis pelajar Tingkatan 1, Zara Qairina Mahathir dalam keadaan yang teruk sehingga diberi bantuan pernafasan menggunakan mesin, selain mengalami kecederaan otak yang tidak boleh dipulihkan.
Demikian kenyataan saksi pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Pembedahan Saraf (Neurosurgery) di Hospital Queen Elizabeth, Dr Pavankumar Balachandran, 32 tahun, ketika diminta pegawai pengendali kes tersebut, Timbalan Ketua Pendakwaraya II, Datuk Badius Zaman Ahmad.
Prosiding yang berlangsung di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan turut merekodkan keterangan saksi, Dr Pavankumar, berhubung tahap kesedaran Zara berada pada paras paling rendah serta hilang keupayaan untuk bernafas sendiri.
Dalam kenyataan saksi, Dr Pavankumar, beliau turut mencatatkan, keadaan pesakit beransur teruk hingga disahkan meninggal pada 17 Julai, 1.07 tengah harikerana 'severe traumatic brain injury' dan 'hypoxic-ischemic encephalopathy'.
Tambahnya, kematian pelajar tersebut dimaklumkan kepada pegawai penyiasat selepas itu dan beliau sendiri telah menjelaskan punca kematian Zara kepada pegawai penyiasat dan ibu Zara.
Katanya, berlaku perbincangan antara pegawai penyiasat dan ibu Zara sebelum jenazah diarahkan pegawai penyiasat untuk dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik.
Dr Pavankumar merupakan saksi ke-4 dalam prosiding inkues punca kematian Zara Qairina Mahathir pada hari keempat.