KUALA TERENGGANU, 16 Julai – Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Terengganu dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Pengarah JIM Terengganu, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, operasi dijalankan bersama pelbagai agensi itu melibatkan pemeriksaan ke atas 120 individu termasuk warga tempatan di 12 premis sekitar kawasan terbabit.
Kesemua PATI yang ditahan berusia 22 hingga 40 tahun, terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.
"Kebanyakan mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.
“Operasi ini sebenarnya kita berdasarkan kepada risikan dan hasil daripada aduan. Banyak aduan diterima, contohnya di lokasi berhadapan stesen bas utama Kuala Terengganu mengenai keberadaan warga asing.
Jadi pada hari ini kita bertumpu di kedai-kedai. Sebab itu kita ada sekali dengan KPDN, sama ada kedai-kedai tersebut menjual barang-barang mengikut peraturan atau sebaliknya," katanya kepada pemberita dalam Operasi Bersepadu di Kuala Nerus semalam.
Operasi turut mendapat kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).