SERI KEMBANGAN, 16 Julai – Seramai 494 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan malam tadi di Pangsapuri Putra Permai Selesa, di sini.
Operasi yang bermula sekitar pukul 10 malam itu melibatkan seramai 217 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi, termasuk JIM, polis, Jabatan Pendaftaran Negara dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bagi membanteras kehadiran warga asing yang melanggar undang-undang negara.
“Operasi penguatkuasaan seperti ini akan dilakukan secara berterusan bagi mengesan dan menahan warga asing yang melanggar peraturan serta seksyen di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya kepada pemberita selepas operasi berkenaan.
Dalam pemeriksaan yang dilakukan, seramai 741 warga asing pelbagai warganegara telah diperiksa, dan daripada jumlah itu, 494 orang ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.
Mereka yang ditahan terdiri daripada individu berusia seawal dua bulan hingga 60 tahun, dan kini ditempatkan di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan, melanggar syarat pas, serta penggunaan kad pengenalan palsu.