fb fb fb fb fb

OKU didakwa terlibat dua kes 'keldai akaun'

Muhammad Harizi Abu Bakar di Mahkamah Majistret Balik Pulau

BALIK PULAU, 26 Disember- Seorang penghantar barang yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membabitkan kes 'keldai akaun' melibatkan kerugian berjumlah RM22,480.

Tertuduh, Muhammad Harizi Abu Bakar, 28 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mengikut pertuduhan pertama Muhammad Harizi didakwa memiliki wang berjumlah RM10,800 milik Aalban Sudesh George, 31, dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN).

Kemudian menyerahkan kad ATM miliknya tersebut kepada seorang lelaki itu di Kuala Lumpur melalui penghantaran kurier di kawasan perindustrian Bayan Lepas, pada pukul 6.05 petang, pada 13 November lalu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didapati akaun bank milikannya terdapat wang berjumlah RM11,680 milik Law Teck Teong, 62, dalam akaun BSN, dan tertuduh didapati telah menyerahkan kad ATM miliknya kepada lelaki sama.

Tertuduh menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar kad ATM berkenaan kira-kira pukul 1.36 tengah hari, 14 November lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh diwakili peguam, Yusmadi Yusoff.

Bagaimanapun mahkamah menetapkan wang jaminan berjumlah RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan sebutan semula kes pada 27 Januari depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI