fb fb fb fb fb

Seorang individu didenda RM20,000 miliki bahan api tanpa lesen

Haw Boon Guey, 58 tahun di Mahkamah Sesyen Kangar

KANGAR, 26 Disember- Mahkamah Sesyen di sini menjatuhkan hukuman denda ke atas seorang pemandu lori yang juga buruh kilang warga tempatan sebanyak RM20,000.

Tertuduh Haw Boon Guey, 58 tahun mengaku memiliki 400 liter campuran petrol, diesel tanpa lesen dan membuat pengakuan itu di hadapan hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Jun 2023, pukul 10.30 pagi di tepi jalan kaki bukit berhampiran sebuah stesen minyak di Beseri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki minyak tersebut dengan niat untuk berurusan secara runcit atau borong tanpa lesen sah, melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Kesalahan diperuntukkan bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Mugunthan Selvakumaran.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lapan bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Kenderaan tertuduh juga diperintahkan dilucut hak serta petrol yang disita berjumlah RM820 dijadikan aset kerajaan Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI