fb fb fb fb fb

Aktiviti seludup rokok, minuman keras lebih RM1.6 juta ditumpaskan JKDM Pahang

Mohd Asri Seman

TEMERLOH, 26 Disember- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras bernilai lebih RM1.6 juta dalam tiga operasi berasingan di Johor dan Selangor.

Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata, dalam operasi pertama Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Temerloh telah menyerbu sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor yang dijadikan stor menyimpan rokok putih dan kretek pada pukul 11.15 malam 3 Disember lalu.

Pasukan menemukan rokok pelbagai jenama berjumlah 449,400 batang dianggarkan bernilai RM49,340 dengan duti berjumlah RM301,538 di sebuah rumah dipercayai disewa.

Hasil siasatan mendapati tiada individu menjaga rumah terbabit dan pihaknya sedang mengesan pemilik kediaman.

"Kes ini disiasat bawah Sesyen 135 (A) Akta Kastam 1967, Jika sabit kesalahan boleh di kenakan denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar

"...dan tidak lebih dari 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Kastam Daerah Temerloh di sini.

Kes kedua pula sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire disita; membawa muatan rokok putih dan kretek di kawasan parkir berdekatan satu taman perumahan di Tebrau, Johor pada 10 Disember lalu.

Pemeriksaan kira-kira pukul 4.20 petang itu mendapati terdapat barang larangan iaitu 380,800 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM55,856 dengan nilai duti RM256,913.60.

Tiada tangkapan dilakukan kerana pemandu MPV terbabit sempat melarikan diri ketika pasukan menghampiri kenderaan tersebut.

Kenderaan berkenaan juga didapati menggunakan dua nombor pendaftaran palsu yang boleh ditukar secara automatik.

Bagaimanapun pihak kastam sedang menyiasat status kenderaan terbabit sama ada ia dicuri atau berdaftar.

Kedua-dua kes tersebut sedang disiasat bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967.

Sementara itu bagi kes ketiga pihak kastam dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena (CCU) Selangor berjaya menyita sebuah kontena bersaiz 12 meter (40 kaki) dengan muatan minuman keras di Pelabuhan Utara Klang, Selangor menerusi Ops Pagar.

Operasi itu dilakukan pada pukul 11.30 pagi pada 12 Disember lalu, menemui kontena yang dipercayai dari Asia Timur dibawa masuk dengan ikrar sebagai kertas hiasan dinding.

Hasil pemeriksaan lanjut, kontena itu berisi 26,400 liter atau 52,800 tin minuman keras jenis bir disyaki tidak mempunyai permit import dianggarkan bernilai RM60,693.60 dengan duti sebanyak RM891,208.56.

Kes itu sedang disiasat bawah Seksyen 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI