PETALING JAYA, 26 Disember- Polis menahan dua suspek dalam insiden kejar mengejar antara kereta peronda polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan sebuah kereta jenis Proton Satria warna putih yang dipandu secara melawan arus kerana cuba lari dari sekatan jalan raya di Kilometer (KM)16 Lebuh raya Damansara-Puchong.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Shahrulnizam Ja’afar berkata suspek berjaya ditahan dijalan PJU 1A/1 Ara Damansara.
Beliau berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek adalah lelaki warga tempatan.
"Dalam usaha menahan kereta berkenaan, suspek telah bertindak melanggar kereta peronda polis dan sebuah motosikal yang ditunggang oleh orang awam.
"Suspek pertama yang merupakan pemandu kenderaan tersebut berumur 30 tahun dan semakan rekod jenayah mendapati beliau mempunyai 11 rekod jenayah dan lima rekod jenayah narkotik. Suspek kedua merupakan penumpang kenderaan yang sama berumur dalam lingkungan 29 tahun dan mempunyai satu rekod jenayah lampau", katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata sejumlah dadah dipercayai jenis syabu anggaran berat 12.87 gram telah dijumpai di dalam kenderaan suspek bersama-sama senjata dipercayai jenis 'electric shock wave'.
"Kedua dua suspek telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
"Kes disiasat bawah Seksyen 307/186/279 Kanun Keseksaan, Seksyen 7 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Merbahaya, Seksyen 39A(1) ADB 1952 dan Seksyen 42(1) APJ 1987", katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah atau orang yang mencurigakan, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan IPD Petaling jaya di talian 03-79662222.