fb fb fb fb fb

OKT lolos diri dari mahkamah dicekup di kebun durian

OKT yang dicekup pihak polis selepas melarikan diri dari Mahkamah Alor Gajah/Foto PDRM

ALOR GAJAH, 28 November – Seorang tahanan (OKT) lelaki warga Indonesia yang melarikan diri dalam keadaan bergari di Kompleks Mahkamah Alor Gajah pada 25 November lalu, berjaya ditahan semalam di sebuah kebun durian di Taman Melaka Pindah di sini.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi, berkata suspek berusia 38 tahun itu ditahan dalam Op Kesan pada pukul 6.10 petang.

Ketika itu suspek berada seorang diri serta sudah tidak bergari.

"Suspek ditahan mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana melarikan diri daripada tahanan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ops Kesan yang melibatkan pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia, pasukan Gerakan Am Batalion Enam dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Lelaki itu dibawa ke mahkamah oleh anggota JKDM untuk sebutan semula kesnya yang dituduh mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pihak berkuasa mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya suspek.

GRACE AISYAH KEDAYAN