fb fb fb fb fb

Emas fizikal tidak wujud, lelaki mengaku tidak salah tipu wanita RM165,000

Rosdi Abd Malek, 35, memperdaya mangsa berhubung skim pelaburan emas ‘Paddy Jewellery’ yang tidak wujud

BUTTERWORTH, 28 November – Bekas penolong pegawai penyedia makanan sebuah hospital mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas 11 pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan wang bernilai RM165,000.

Tertuduh, Rosdi Abd Malek, 35, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Zulaikha Nordin@ Ghani.

Dia didakwa memperdaya mangsa berhubung skim pelaburan emas ‘Paddy Jewellery’ yang tidak wujud dengan menjanjikan untuk menerima emas fizikal.

Pelaburan tidak wujud itu mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak 11 kali ke dalam dua akaun bank miliknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Persiaran S/10, Bandar Putra Bertam, antara 20 Februari hingga 13 Julai tahun ini.

Rosdi menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun, denda, dan sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Syazreena Zainurin, manakala tertuduh diwakili oleh seorang peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Mahkamah memerintahkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 23 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

GRACE AISYAH KEDAYAN