fb fb fb fb fb

Nekad sembunyi dua jam dalam longkang, elak ditahan Imigresen

Seramai 530 warga asing terdiri daripada 504 lelaki dan 26 wanita telah diperiksa/ BERNAMA

SERDANG, 3 Februari- Dua lelaki warga Bangladesh nekad bersembunyi lebih dua jam di dalam longkang sebelum ditahan Jabatan Imigresen dalam Operasi Bersepadu di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan di sini yang dijalankan bermula 3 pagi tadi.

Seorang daripada mereka berkata mereka takut dengan kehadiran anggota imigresen dan agensi keselamatan lain dan terus melarikan diri sebelum mengambil keputusan untuk melompat ke dalam longkang terbabit.

Ketika pemeriksaan, seorang daripada mereka memiliki pasport namun permit kerja telah tamat tempoh dan hanya terhad untuk bekerja dalam sektor pembinaan.

Sementara seorang lagi hanya mempunyai dokumen pendaftran program rekalibrasi (program khas meregularisasikan pendatang tanpa izin di negara ini sebagai pekerja asing yang sah digajikan oleh majikan tertakluk kepada syarat-syarat ketat).

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata pihaknya telah memeriksa 530 warga asing terdiri daripada 504 lelaki dan 26 wanita.

“Daripada jumlah itu, warga Myanmar paling ramai diperiksa dengan 277 orang, Bangladesh (94), India (72), Indonesia (39), Nepal (15), Sri Lanka (sembilan), Pakistan (enam) dan seorang warga Vietnam,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas operasi tersebut.

Katanya, kesemua tahanan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki sebarang dokumen yang sah dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana telah tinggal lebih masa.

Operasi yang berakhir kira-kira 6 pagi itu turut melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Selangor dan Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Mereka yang ditahan akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor dan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI