fb fb fb fb fb

Nahas bas di Genting Highlands: Pengendali bas persiaran didakwa

Foto RTM

BENTONG, 19 Ogos-Syarikat pengendali bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Genting Highlands pada 29 Jun lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bentong hari ini atas dua pertuduhan iaitu gagal melindungi keselamatan penumpang serta pengguna jalan raya dan beroperasi semasa lesen bas persiaran telah tamat tempoh.    

Bagaimanapun tertuduh, M. Kumar,50, yang merupakan Pengarah Syarikat M.Kumar Trans Tour Sdn. Bhd. mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nuur Fakhizaa Abu Bakar.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa raya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd Nasrul Fazimi Mat Nasir manakala tertuduh diwakili peguam, P. Taneswaran.

Menurut kertas pertuduhan pertama, pada kira-kira pukul 10.20 pagi 29 Jun lalu di Jalan Genting Highlands di Bentong, tertuduh sebagai pemilik lesen untuk bas persiaran yang dilesenkan kepada M.Kumar Trans Tour Sdn. Bhd., dipandu S. Anand Kumar,32, telah melakukan kesalahan kerana gagal melindungi keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

Tertuduh didakwa menyebabkan kematian dua penumpang apabila membenarkan pemandu memandu kenderaan syarikat tanpa memiliki lesen memandu yang bertentangan dengan syarat am lesen bas persiaran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) (b) (ii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (3) Akta yang sama dan boleh dilucuthakan di bawah Seksyen 80 (4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Mengikut kertas pertuduhan kedua, tertuduh pada waktu, tarikh dan lokasi yang sama sebagai pemilik lesen bas persiaran yang dilesenkan kepada kepada M. Kumar Trans Tour Sdn. Bhd yang dipandu individu sama telah melakukan kesalahan beroperasi semasa lesen bas persiaran telah tamat tempoh berkuatkuasa pada 16 Februari 2024 yang bertentangan dengan syarat am lesen bas persiaran.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) (b) (iii) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (3) Akta yang sama dan boleh dilucuthakan di bawah Seksyen 80 (4) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

Jika disabitkan kesalahan bagi masing-masing pertuduhan pertama dan kedua tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali selain kenderaan yang berkaitan hendaklah dibuat pelucuthakan oleh mahkamah.  

Dalam prosiding, Mohd Nasrul Fazimi meminta mahkamah menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan bagi memastikan tertuduh hadir dalam perbicaraan.

Bagaimanapun Taneswaran memohon wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan alasan wang jaminan tinggi tidak wajar dikenakan kerana ia bukanlah hukuman memandangkan tertuduh belum dibuktikan bersalah.

Majistret memutuskan wang jaminan sebanyak RM6,000 bagi dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 27 September depan bagi sebutan semula kes.

Pada 3 Julai lalu pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kejadian kemalangan maut di Jalan Genting Highlands mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Raub atas dua pertuduhan memandu dengan berbahaya dan tidak mempunyai lesen memandu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dengan bahaya dan Seksyen 26 (1) APJ 1987 kerana memandu tanpa lesen memandu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD