SEPANG, 26 Februari - Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman penjara enam bulan terhadap seorang individu selepas gagal membayar hukuman denda sebanyak RM30,000 yang dikenakan terhadapnya kerana memuat naik kandungan bersifat palsu berkenaan keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, kesalahan yang dilakukan Johari Ismail, 67 tahun pada 8 Februari lalu menerusi laman aplikasi Facebook miliknya.
Hakim Mahkamah Sesyen Sepang menjatuhkan hukuman tersebut hari ini bawah pertuduhan seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali.
Tertuduh ditahan lewat malam semalam sejurus selepas waran tangkap dikeluarkan mahkamah akibat kegagalannya hadir ke prosiding pertuduhan.