fb fb fb fb fb

Cubaan seludup anak pokok durian, laici dan longan tumpas

Foto Hiasan

KOTA BHARU, 26 Februari - Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan cubaan seludup 14,500 pokok durian jenis 'black thorn', laici serta longan selepas menahan sebuah lori di Kampung Parit Air, Rantau Panjang pada Isnin.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata rampasan itu membabitkan lebih 1,000 anak pokok durian 'black thorn', 8,000 pokok laici dan 5,500 pokok longan dipercayai diseludup dari Thailand.

"Rampasan tanaman yang disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit itu dilakukan sekitar 10.20 malam selepas anggota Batalion 8 PGA menahan sebuah lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan Op Taring Wawasan.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.12 juta dan pemandu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun yang dipercayai menjadi penghantar tanaman berkenaan ke pasaran tempatan turut ditahan," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

Sementara itu, Batalion 8 PGA Briged Tenggara menumpaskan kegiatan penyeludupan lebih 15,000 anak pokok durian Belanda dan 400 anak pokok petai di Kampung Kedap di Pasir Mas.  

Nik Ros Azhan berkata rampasan dilakukan pada 10 malam selepas anggotanya menahan sebuah lori dan hasil pemeriksaan menemukan lebih 15,000 anak pokok durian belanda dan 400 pokok petai dipercayai diseludup dari Thailand.  

"Tanaman itu juga dipercayai mempunyai serangga perosak dan penyakit. Pemandu seorang lelaki berusia 41 tahun dipercayai menjadi penghantar tanaman berkenaan ke pasaran tempatan turut ditahan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM912,000," katanya. 

Kes disiasat bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5.

TETITIA YUSOFF