fb fb fb fb fb

“Along Kubur” dipenjara 10 bulan, denda RM13,000

"Along Kubur" dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM13,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kluang, Johor / Foto RTM

KLUANG, 25 Februari – Seorang pemandu yang dikenali sebagai "Along Kubur" dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM13,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kluang, di sini atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya serta menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Tertuduh, Mohd Faiz Zailan Kamarudin, 41, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu secara berbahaya kepada orang awam di sekitar Kampung Melayu dan Bandar Kluang pada pukul 9 pagi, 14 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh dengan sengaja menghalang tugas Koperal Noor Saufi Mat Mustar, seorang anggota polis, di persimpangan lampu isyarat Jalan Haji Manan, Kluang pada waktu dan tarikh yang sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam prosiding sama, tertuduh turut didakwa atas kesalahan mengedar dadah jenis heroin seberat 19.30 gram di lokasi yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan bagi pertuduhan di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nurfara Fazilun Izlyin Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 29 April sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia, dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN