fb fb fb fb fb

Kes tembakan KLIA: Hafizul dipenjarakan 14 tahun enam bulan dan sebatan

Hafizul Hawari, 38, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bahru pada Rabu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 14 April tahun lepas / Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 25 Februari-Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini menjatuhkan hukuman penjara selama 14 tahun enam bulan dan enam sebatan terhadap pengurus syarikat agensi pelancongan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api secara haram.

Hukuman dijatuhkan oleh Hakim Zulkifli Abllah selepas meneliti fakta kes sebaik tertuduh, Hafizul Hawari, 38 tahun mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Zulkifli Abllah bagaimanapun menetapkan hukuman yang dijatuhkan berjalan serentak dari tarikh Hafizul ditangkap pada 15 April tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki senjata api jenis pistol Glock 19 Austria, buatan Turkiye, yang menyalahi Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Hafizul dihukum penjara selama enam tahun dan enam sebatan.

Pertuduhan kedua, lelaki dihukum tiga tahun penjara atas pertuduhan memiliki 33 butir amunisi PMC 380 Auto tanpa lesen sah mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960.

Pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki satu bungkusan plastik cerah mengandungi mercun bola tanpa permit mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan berdepn hukuman penjara tiga tahun.

Bagi pertuduhan keempat hingga keenam, tertuduh didakwa memiliki tiga kad pengenalan milik tiga individu lain yang menjadi kesalahan mengikut 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Hafizul dihukum penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan.

Untuk pertuduhan ketujuh, Hafizul Hawari didakwa memandu Honda Civic warna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan dipenjara selama setahun.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di dalam sebuah kereta Honda Civic di perkarangan KPJ Perdana Specialist Hospital di sini, pukul 2 petang, pada 15 April tahun lalu.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan tertuduh diwakili peguam Nik Mohd Faris Syazwan Zainuzzaman.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarat.

Hafizul bagaimanapun merayu supaya hukuman ringan dikenakan selain memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya.

Hakim bagaimanapun menjatuhkan hukuman 14 tahun enam bulan dan enam sebatan untuk keseluruhan tujuh pertuduhan dan hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 15 April tahun lalu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD