fb fb fb fb fb

AKPS halang kemasukan 11 individu disyaki bukan pelancong tulen

FOTO AKPS

BUKIT KAYU HITAM, 16 November - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pada Sabtu menolak kemasukan 11 warga asing ke negara ini selepas disyaki bukan pelancong tulen dan tidak mematuhi syarat kemasukan.

Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin Mohd Nasir berkata, kesemua warga asing terbabit terdiri daripada seorang lelaki warga India, dua lelaki dan dua wanita warga Thailand serta lima lelaki dan seorang wanita warga China.

Hasil semakan dan sesi soal siasat mendapati kesemua warga asing terbabit berusia anggaran 30-an hingga 40-an.

“Kesemua warga asing terbabit gagal mengemukakan alasan kukuh tujuan memasuki Malaysia dan tidak mematuhi kriteria kemasukan yang sudah pun ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, semua individu terbabit telah diarahkan berpatah balik ke negara asal melalui laluan masuk yang sama.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD